Tuesday, July 10, 2007

Di Satu Petang Hari Sabtu


Satu petang
Sabtu yang lalu

Di sebuah taman awam
Batu Buruk
Kuala Terengganu

Aku
Duduk-duduk di situ
Di atas bangku batu
Melihat anak-anak bermain buai laju-laju

Mereka ketawa gelak bergurau
Bagai dunia ini akan sentiasa hijau
Tiada seranting onak dan ranjau

Aku seraya
Lepaskan pandangan mata
Ke luas perspektif maya
Melihat keletah manusia

Dari satu sudut
Ada pasangan pinggang berpaut
Di bawah ranting pokok yang melendut
Memadu kasih sebiru air laut

Mahu sahaja aku merapati
Berbisik dari hati ke hati
Dan aku memberi ingatan berulangkali
Hakikat percintaan yang kalian alami
Hanyalah setitik dari makna cinta itu sendiri
Masih banyak yang tersembunyi
Jangan serahkan setiap inci
Kalau nanti betul-betul jadi
Kalian akan tahu juga nanti

Dari satu sudut di depan
Anak-anak muda belia satu kumpulan
Dengan motosikal bising mengalahkan suara ungka di hutan
Ke sana ke sini mengasah jalan
Bagaikan kambing tidak bertuan
Tiada arah tiada tujuan

Mahu saja aku menghampiri perlahan-lahan
Dan aku lempang setiap seorang

Aku dulu pernah muda
Aku dulu pernah memiliki jentera dua roda
Tapi aku bukan buat berlumba
Aku masih ingat pesan orang tua!

Dari tepi sudut terlindung
Sepasang warga emas duduk termenung
Kabur penglihatan
Pandangan terhalang

Pada agakan aku la kan
Melihat ke belakang
Kenangan yang ditinggalkan
Pengalaman yang tidak ternilai dengan wang
Lebih terang
Lebih mendamaikan

Kan Pakcik kan?

Sudut pandangan menyongsang
Jauh ke tepi pantai ombak berkejaran
Seorang gadis sedang melayan perasaan
Mungkin meratapi nasib yang malang
Pedih bukan kepalang
Bila diri ditinggalkan
Tanpa pesan

Mahu sahaja aku mengubati
Tapi aku batalkan niat yang suci
Aku masih sayangkan pipi aku ini
Dan aku mahu tidur dalam bilik kami
Bila balik ke rumah nanti
Aku faham benar jelingan berapi
Dari ‘member’ yang duduk bersama di sisi

Aku
Duduk-duduk di situ
Di atas bangku batu
Melihat anak-anak bermain buai laju-laju

Hari semakin menghampiri malam
Aku mahu memimpin tangan gebu yang dihalalkan
Melalui salam kemas Pak Imam
Dan tangan-tangan kecil yang bersilang-silang
Berebut-rebut kasih dan sayang
Kemuncak kasih tinggi ke awan

Kalau ada umur yang panjang
Kita jumpa lagi Sabtu depan.

~Po.

3 Comments:

Blogger Nazrah Leopolis said...

alangkah indah suasana santai alam berkeluarga....

8:54 PM  
Blogger Kak Teh said...

po, kak teh baca ni macam baca apa yang apa yang terhasil dari pena-pena penyajak seperti Usman Awang.

11:08 PM  
Blogger Anonymous said...

Puan Nazrah...

Indah..mendamaikan.

Kak Teh...

Kak teh, Dato' Dr. Usman Awang sememangnya idola saya sedari dulu.Dalam kebersahajaan dia, dia mampu membuat air mata menitik atau ketawakan diri sendiri.

Kak teh bertuah kerana pernah bertemu muka dengan seorang seniman yang tiada galang gantinya.

Saya teringin menulis tentang Allahyarham apabila membaca catatan kak teh tapi masa belum mengizinkan.

12:23 AM  

Post a Comment

<< Home