Tuesday, July 17, 2007

…dan burung kakaktua Sikorsky itu akhirnya gugur.

...

Tiga puluh sembilan tahun usiamu
Sudah berjuta peristiwa hitam, hijau dan biru
Telah kau lalu

Tanpa penat
Tanpa rasa berat
Memutarkan sayap
Penuh kudrat

Kau bawa bersama
Anak-anak bangsa yang gagah perkasa
Terbang tinggi di angkasa
Menjulang nama
Menjaga sebuah negara

Dari konfrantasi yang maha hebat
Sehinggalah negara kekal berdaulat
Dari misi memburu musuh-musuh laknat
Sehinggalah ke operasi mencari dan menyelamat
Kau sememangnya hebat

Terlalu hebat
Sehebat sejarah yang tercatat

Tiga puluh sembilan tahun meniti hari
Misi bertukar operasi
Sikorsky bertukar Nuri
Seekor burung besi
Akhirnya mati

Dan

Tiga puluh sembilan tahun usia
Anak-anak bangsa yang gagah perkasa
Gugur bersama
Di tengah-tengah rimba
Di pinggir lebuhraya

Sebak-sebak di dada
Meruntun hiba

Bapak-bapak Menteri
Ketua-ketua turus angkatan tertinggi
Aku merayu dan merayu lagi
Burung Nuri telah lama terbang tinggi
Sejuta khidmat diusung bakti
Mungkin masanya tiba kini
Burung Nuri
Hinggapnya di bumi




Aku panjatkan Al-Fatihah buat Kapten Nor Azlan Termuzi, Kapten Noor Intan Asykeen Mohd Arof, Sarjan Udara Khusnizam Arrifin, Sarjan Udara Mohd Azmie Md Yassin, Laskar Udara Kanan Saifulizam Alias dan Laskar Muhammad Ridzuan Ahmad yang gugur demi pertiwi dalam Tragedi Nuri di kaki Gunung Bunga Buah, Karak pada Jumaat, 13 Julai, 2007 hanya berbilang hari dari ulangtahun ke –50 kemerdekaan bumi berdaulat ini.

Nama kalian akan terpahat di hati kami sebagai pejuang-pejuang yang terkorban demi maruah yang dijulang.

~Po.

1 Comments:

Blogger Kak Teh said...

Al Fatehah.

7:37 PM  

Post a Comment

<< Home