Wednesday, August 01, 2007

Merdeka Dulu Dan Merdeka Kini

(sempena sambutan 50 kali ulangtahun kemerdekaan bumi ini)

merdeka dulu
merdeka kini

merdeka dulu
mandi di perigi
sejuk menusuk ke ulu hati
dalam subuh sepi
melangkah onak dan duri
berhati-hati

merdeka kini
hanya selangkah ke kamar mandi
Dalam bilik bersendiri
air menderu dari corong besi
dikelilingi jubin bersegi
tidak lagi terketar gigi
dan lagi
Subuhnya menjadi
Jam delapan pagi!

Merdeka dulu
Naik basikal Raleigh
Meniti batas sawah padi
Dalam senyum pagi
Mencari sesuap nasi
Berpeluh tangan dan kaki

Merdeka kini
Mencari rezeki
Naik keretapi
Rel bergantung sayup tinggi
Digelar orang sebagai LRT
Langsung tak lenguh kaki
Dan lagi
Bukannya ‘free’

Merdeka dulu
Ke mana-mana pergi
Kita dihulur diberi
Air kosong atau air mati
Sebagai tanda dihargai
Atau sebagai simpati sesama insani

Merdeka kini
Air kosong sudah ada harga tersendiri
Botol-botol plastik bulat dan bersegi
‘Reverse Osmosis’ atau kononnya sumber semulajadi
Dan untuk menghilangkan dahaga ini
Bersedialah untuk menyeluk kocek kanan dan kiri!

Merdeka dulu
Kita kenal sesama sendiri
Anak Pak Mat kampung seberang titi
Mak Lijah penjual ubi
Pak Awang drebar lori
Pak Ali jual topi
Pak Kasim kudung kaki
Kita tahu serba serbi

Merdeka kini
Tak perlu bermadah
Tak guna berhelah
Kenal ke jiran sebelah ?
Itu belum tanya pasal jiran selang dua rumah!

Merdeka dulu
Ikan, sayur, ayam, daging dan hati
Di hujung kampung di pasar tani
Dipetik disembelih baru pagi tadi
Tak perlu di ragui tak perlu dikhuatiri
Secubit rezeki buat petani

Merdeka kini
Sebulan sekali
Membelah dan membeli
Barang-barang basah di pasaraya Gergasi
Tak tentu masa tak perlu tunggu pagi
Cuma jangan terlalu asyik mengisi troli
Kena periksa dulu tarikh mati!

Merdeka dulu
Merdeka kini

Merdeka dulu
Di ibu kota hanya ada satu bulatan
Atau ‘roundabout’ kata orang
Kereta tak banyak jalannya lengang
Tak mungkin sesat atau silap haluan

Merdeka kini
Peta sedia siap dengan nama jalan
Hanya picit telefon tangan
GPRS, navigator entah apa lagi sebutan
Baru melangkah masuk dalam kenderaan
Sudah tahu simpang di depan!

Merdeka dulu
Nak tengok wayang
Itu pun sekali dalam lima enam bulan
Kena tunggu van penerangan
Layar dibentang malam menjelang
Berhimpit-himpit di tengah padang
Ceramah politik diselang-selang
Antara kempen dan cerita Sangam

Merdeka kini
Orang dah panggil ‘movie’
Di dalam panggung empuk kerusi
Berdentum dentum dengan sistem bunyi
Tak ada orang hirau tak ada yang peduli
Boleh bikin wayang sendiri
Gambar-gambar cerita terkini
Boleh ditonton dalam kereta sendiri
Pakai pemain dvd!

Merdeka dulu
Merdeka kini

Merdeka dulu
Mereka berjuang
Tanpa memikirkan kepentingan
Niat dipasang
Agar nanti anak cucu menjadi senang

Merdeka kini
Segala-galanya demi ringgit dan wang

Merdeka kini
Sudah hilang erti

Merdeka kini
Sudah hilang nilai-nilai tradisi

Merdeka kini
Hanya sambutan bunga api

~Po.