Tuesday, August 05, 2008

Masihkah Kau Ingat Adikku?

...

Adik
masihkah kau ingat lagi
kita sama-sama menanti Umi
pulang kerja sehari-hari
di bawah rimbun pohon semarak api

Adik
pasti kau belum lupa
kau sering terlena di riba
dan seringkali bermimpi
tentang kita

Adik
masih ingatkah lagi
Umi pulang lewat petang
lalu kau terjaga dari ribaan
kau lapar dan minta makanan

Adik
pasti kau belum lupa
kau menangis penuh hiba

dan

Umi memujuk
lalu membuka sebungkus nasi sejuk
secubit lauk

kata umi
lebihan jamuan di pejabat
Umi simpan semasa mengemas dan mencuci

Adik
kita pulang tatkala malam menjelang
langsir dilabuh
kehidupan berteduh

Adik
Masihkah kau ingat
Esok petang
Kita menunggu lagi

dan kau pasti akan tertidur lagi
dan kau pasti akan menangis lagi

segenggam nasi sejuk
secubit lauk

entah apa pula Umi memujuk
sebelum kau mengerti ertinya hidup

Masihkah kau ingat....dik?

~Po

0 Comments:

Post a Comment

<< Home