Tuesday, December 30, 2008

Sajak Seorang Lelaki Bukan Aku Kepada Anak Lelakinya Di Malam Tahun Baru

...

Anakku,
Bukan Ayah tak mahu berikan kamu wang
Untuk kau belanjakan
Menjelang tengahmalam
Tahun baru yang mendatang

Anakku,
Ayah cuma bimbang
kau akan mencari hiburan
dalam cahaya kelam kelab-kelab malam
menari ligat, tak ingat Tuhan

Anakku,
bila kau lupakan Tuhan
dan jumpa perempuan-perempuan
yang berpakaian telanjang
sama-sama menari menunggu hari siang

Anakku,
kau akan termakan godaan
kehangatan malam
memuncak kenikmatan

Anakku,
bila kau termakan godaan
sesalmu akan berpanjangan
sepanjang-panjang kehidupan

Anakku,
Dua puluh tahun dulu
Ayahku memberikan aku wang
Untuk aku belanjakan
Menjelang tengahmalam
Tahun baru yang mendatang

Anakku,
Malam tahun baru itu

Aku mendapat kamu

Anakku,
Adakah kau mahu
menyambung sesalku?

~Po. Lelaki itu bukan aku.

0 Comments:

Post a Comment

<< Home