Sunday, December 14, 2008

Syyyy..Abah nak tengok Berita

...

Syyyy..
Duduk diam-diam
Sudah jam delapan
Perlahankan suara
Abah nak tengok Berita

Tajuk-tajuk Utama

Politik tanahair tak tentu hala
Masing-masing saling kata-mengata
Inilah cara baru dan itu cara lama
Inilah kehendak pemuda
Itu kehendak orang tua
Akhir-akhirnya
Rakyat juga yang ternganga
Tak tahu apa cerita

Syyyy…
Abah nak tengok Berita

Dalam Negara
Berita bencana
Tanah runtuh di sini sana
Banjir dan kemalangan bertimpa-timpa

Polis nasihat rakyat jelata
Demi keselamatan mereka juga
Mangsa pakat marah-marah pada bomba
Bukan nak terimakasih kepada mereka
Tahulah mereka tu kaya

Pihak bertanggungjawab membuat sidang media
Tindakan akan diambil segera !
Nanti tak berapa lama
Ianya akan berulang semula
Tunggulah, kalau tak percaya

Syyyyy…
Abah nak tengok berita

Berita ekonomi pula
Harga minyak dunia naik, harga barang tambah menggila
Bila harga minyak dunia jatuh, harga barang tetap sama
Peniaga buat dengar tak dengar sahaja

Bapak-bapak menteri besar atau sederhana
Berebut-rebut menukar kereta rasmi mereka
Kereta nasional diganti kereta luar Negara
Menjimatkan segala kos selenggara
Tak boleh ke kalau naik kereta kancil sahaja?

Syyyy….
Abah nak tengok berita

Berita luar Negara
Rampasan kuasa
Presiden bertukar kuasa
Rusuhan rakyat melanda
Keganasan berleluasa

Entah bila penamatnya
Dari dulu, itulah ceritanya

Syyyy…
Abah nak tengok berita

Berita sukan
Pasukan kebangsaan kecundang
Jurulatih memberi jaminan
Barisan terbaik yang pernah di beri latihan
Kita kalah pun kerana nasib malang

Amat malang bila gol yang diloloskan
Menjadi bahan ketawa selama sebulan

Syyyy….
Abah nak tengok Berita

Berita hiburan
Artis sensasi akan kahwin hujung bulan
Artis yang dah basi bercerai semalam

Artis bercinta disembunyi-sembunyikan
Artis nafi bernikah kecoh media hiburan
Bila sudah diambang perpisahan
Artis caci maki di set penggambaran
Cerai berai sengaja disensasikan

Syyyy….

Abah bangun bah!
Umi panggil makan malam…
Berita dah habis Bah…

Gosok-gosok mata dengan tangan
Bingkas bangkit ke meja makan
Menceduk nasi ke pinggan

‘Berita apa hari ni Bang?..’
Tanya orang rumah tersayang

‘Tak ada apa..Cuma berita Pak Kaduk dan Lebai Malang…’

Dok ulang-ulang

Dok ulang-ulang

~Po.

3 Comments:

Blogger Radhi Dahlan said...

PO, ko nie pandai menulis la. Yr bhs is superb.

6:19 PM  
Blogger Anonymous said...

Aku cuma bercerita didie...

sekadar bercerita.

8:29 PM  
Blogger tasekM said...

aku suka.

8:09 PM  

Post a Comment

<< Home