Sunday, June 12, 2005

Di Suatu Pagi Di Hari Rehat.

...

Di suatu pagi di hari rehat
Aku mencapai segebar kertas berlipat
Membaca tajuk, gagal menambat minat
Meniti dari berita ke berita yang termuat

Apa ke ceritanya ini?
Di sini mati
Di situ mati
Lantas mayat dibuang dalam kotak tv
Apakah nyawa semurah biji kuaci?

Membelek lagi

Apa ke jenisnya orang?
Di sini perang
Di situ nyawa melayang
Apakah helang sudah tak mampu bebas terbang?

Membelek lagi

Ah! Ruangan sukan
Cerita tentang skuad kebangsaan
Kecundang
Sebagaimana ramalan
Apakah kita langsung tak mampu menaruh harapan?

Membelek lagi

Kisah-kisah dari celah-celah kehidupan
Suami hilang bersama wanita simpanan
Isteri ditinggalkan dengan anak-anak kelaparan
Curang
Dendam
Apakah tiada lagi makna kebahagiaan?

Membelek lagi

Membaca berita-berita ekonomi semasa
Syarikat besar mencatatkan laba berjuta-juta
Semua berlumba-lumba disenaraikan ke papan utama
Mana orang kita?
Eh..tak ada?
Pak Mat masih menjual sayur dari van buruknya.
Sayur! Sayur! Lada! Petola!

Membelek lagi
Haa..berita khalwat
Anak-anak gadis bertelanjang bulat
Berselimut gebar di rumah tumpangan Lim Tat
Dan si jantan keparat?
Huh? Sudah lari terjun tingkap!

Membelek lagi

Anak-anak merapati
Belajar membaca dan mengeja ABC
Eh..ini bukan buku cerita fantasi
Ini surat khabar hari ini
Penuh kekalutan realiti
Penuh dengan cerita benci
Pergi baca buku Arnab dan Kura-Kura berlumba lari!

Membelek lagi

Akhirnya rehatku tiba ke penghujung
Membaca ruangan kartun
Ah! sekurang-kurangnya aku mampu tersenyum…

~Po

1 Comments:

Blogger Nazrah Leopolis said...

lawak...dan sungguh bersahaja. best!

7:59 PM  

Post a Comment

<< Home