Wednesday, April 16, 2008

berembun dingin pada malam merdeka di kuala Lumpur


Malam itu
Kita lepaskan haluan tuju pada pedati waktu
Di kala lampu-lampu semakin malap kelabu
Di antara bayang-bayang dan bangunan-bangunan batu

Gejolak rasa yang menikam jauh di lebuh kalbu
Kau dan aku
Hanya menghimbau
Hanyir longkang yang mengalir ke sungai lesu

Kuala Lumpur
Akhirnya tidur
Bersama alunan dengkur
Seorang lelaki candu
Di atas timbunan
Dosa pahala yang berterabur

Tatkala aku menginginkan
Sebuah kepastian
Subuh mulai bertandang
Dalam remang cahaya berbalam
Dan aku tiba-tiba tersedar
Bahawa aku berdiri dua langkah di belakang

Pagi itu
Merdeka di Kuala Lumpur
Tiada terdengar cicip burung
Di dataran
Di dalam getaran

Semoga cahaya yang mencurah turun
Pagi itu
Secerah mimpi-mimpi mu.

~Po (dengan izin Angah-empunya cerita)

0 Comments:

Post a Comment

<< Home