Thursday, January 19, 2006

melantun

melantun jauh dari persisi
mendambar suatu wajah
ayu, manis dan ramah

punya cerita
suatu tubuh munggil
mengghairah

germersik suara mengusik
mengkhabar seribu suara
membangkit seribu rasa

ingin yang mendingin
mahu yang kuat melulu

jauh aku melantun
tersedar
cuma disini adanya

/dzan
jan 2006

Monday, January 16, 2006

Kisah Seorang Weltanschauung Yang Rebah

Aku ciarkan jerit-jerit halus yang bergejolak dari dalam diri
Aku alurkan bertempuh ke segenap urat dan warid nadi
Agar tegak ini
Tegap berseni

Aku timpuhkan letak duduk kemas bak kemiri
Aku pasakkan sendi kancing terkunci
Agar silaan ini
Tidak rebah menyembah bumi

Jejak-jejak marhaen di puncak ancala tinggi
Jangkauan sanad wahadah pencipta lazuardi
Seorang amri
Seorang wilakat
Sebuah kesultanan di bawah lelangit bersegi

Seorang wiraswata

Lantas

Lewat malam kabus hawa daba menggigit

Kau, wadon

Bertanyakan wacana sebuah wahmi

“kenapa lelaki masih mencari perempuan lain walau sudah beristeri?”

aaah…!

Tegapku jatuh
Simpuhku luluh
Wedukku lusuh

Seorang weltanschauung rebah
Aku tak punya jawapan
Bisai-bisai tutur menjadi songsang
Dadaku birsam

Bungkam

Lantas diam
Suara-suara mangkir

Aku wanti-wantikan walehku
“kau hanya satu untukku hingga tiba waktu”

Aku
Tenggelam dalam peluk wilangon

Dan
Aku salahkan pengarah, penerbit, pengeluar drama TV yang mengisahkan lelaki yang kurang nilai kesetiaan. Bukan kalian yang perlu menjawab bila disuakan soalan! Wailol!

~Po.

Thursday, January 05, 2006

senja dan airmat

senja bermerah mata
curiga pada suria
yang sering terik membakar
apakah bumi tiada cukup mekar?

bersoal pada ribut
tak terjawab
kenapa terus meranap?
puaskah melahap

berdebat dengan awan kelabu
sering mencucur sayu
sesinggah hujan dipermukaan
meruntuh hartanah dan kejadian
dimanakah kesudahan

berhitung pada manusia
kenapa menambah angkara
berlarutan segala durjana
tiada puaskah melihat sengsara
menambah gejala alam-semesta

senja bermerah mata
tak tersedar berlinangan airmata

/dzan
jan 2006