Wednesday, December 05, 2007

Jegela Orang Kita

...

Orang kita
Cakapnya beralas

Marahkan anak, sindir menantu
Hati menantu jadi berbulu
Hidup jadi tak tentu kalu
Terus pindah duduk suku-suku
Tinggallah mak menangis tak berlagu

Sayangkan anak, tangan-tangankan
Kalau dah selalu dilempang dirotan
Anak jadi tidak keruan
Silap-silap haribulan
Ayah masuk lokap dua tiga malam

Sayangkan isteri, tinggal-tinggalkan
Kalau tinggalkan, biarlah berpesan
Jangan nanti bila pulang
Isteri dah lari dengan Bangla karpet terbang
Barulah suami tidur terlentang

Orang kita
Cakapnya beralas

Mendengar guruh di langit
Air dalam tempayan dicurahkan
Bukan mengharap pada ramalan
Takut di saman Jabatan Kesihatan
Membiak nyamuk punca jangkitan

Kera di hutan di susukan
Sudah kerjanya dengan PERHILITAN
Memberi makan binatang terancam
Anak cucu nak tengok di masa hadapan
Takut tak kenal mana satu Orangutan

Anak di rumah mati kelaparan
Tak mahu makan burger tepi-tepi jalan
Hanya mahu burger McD di pekan
Hanya selapis daging dan ulam
Habis sebiji masih tak kenyang

Orang kita
Cakapnya beralas

Sedikit sedikit
Lama-lama jadi bukit
Sedikit sedikit tanah dikorek
Bukan sahaja busut dan bukit
Gunung pun buleh hilang dalam sekelip

Kais pagi makan pagi
Kais petang makan petang
Tapi kalau sekali kais nilainya jutaan
Di makan seorang tak ingat jiran
Tak boleh makan, baru nak ingat Tuhan

Bagai kera mendapat bunga
Kita juga yang hidup merana
Pinjaman bank sedikit sahaja
Bertahun ansuran dibayar mengikut masa
Yang luak baru bunganya saja!

Orang kita
Cakapnya beralas

Biarlah aku menjadi Luncai
Yang terjun bersama labu-labu
Leka berlagu di dalam perahu
Tawanan terjun tak siapa tahu

Biarkan..
Biarkan..

~Po

Monday, December 03, 2007

Selumbar



Kadang-kala, aku terasa seperti ingin menulis
Tentang hidup yang terguris
Tentang garis-garis
Yang terpisah antara luka dan pedih

Cuma, aku tak punyai kata-kata
Untuk aku melukiskan cerita
Lantas ia berlalu, laju
sederas waktu

Kadang-kala, aku terasa seperti ingin menyanyi
Lagu-lagu tentang sunyi
Tentang sepi yang bersarang di danau hati

Cuma, aku tak punyai melodi
Untuk aku melagukan puisi
Lantas nyanyian aku, sirna pergi bersama pelangi

Kadang-kala, aku seakan mahu menangis lagi
Tatkala terjaga dari mimpi-mimpi ngeri
Dunia yang penuh dengan tragedi
Hidup yang seakan-akan tak punyai erti

Cuma, aku tak lagi punyai air mata
Untuk dirembeskan setiap detik dan ketika
Lantas tangisan aku, melemaskan sisa-sisa rasa

Kadang-kala, aku seperti mahu bercerita
Tentang bahagia
Tentang saat-saat gembira
Dalam menyusur perjalanan yang sementara

Cuma, aku tak punyai pendengarnya
Bila semua saling mendabik dada
Bahawa mereka sahaja yang mampu mengecap nikmat dunia

Dan aku hanya seorang penglipur lara

Bagai selumbar
Tidak terasa ngilunya
Tidak terlihat hujungnya
Tapi ianya tetap berbisa
Menusuk jiwa

…dan aku masih tidak tahu bagaimana
untuk menyatakannya.

~Po.