Monday, July 14, 2008

Suatu Hari Nanti, Anakku.

...

anakku
suatu hari nanti
aku tahu
kau akan juga
membuatkan aku merasa bangga

dan
di suatu hari itu
aku mahu berada di situ
di sisimu

kerana anakku
semenjak aku diamanahkan dengan kamu
kau sudah cukup membanggakan aku

aku cuma mahu
kau tahu itu.

~Po.

Saturday, July 12, 2008

Redah !

...

Dari semilir angin, pusar bercambah
Ribut membongkar selingkar kisah
Sebuah jiwa yang parah
akan haluan
akan sejarah

Dia berdiri antara dua resah
Mendengar segala keluh kesah
Rasa-rasa yang bertelingkah
tentang harapan
tentang riwayat yang musnah

Lantas
Dia berkata pada hati
yang terlalu lama terkurung lalu melepaskan diri
'kau harus jadi berani!'

Sesekali
manusia harus pentingkan diri
harus menjadi diri sendiri

Putus katanya jangan disanggah
Biarlah dia redah!
Biarlah dia terjah!

Membujur lalu bukannya salah
Melintang tidak seharusnya patah

Asal hajat dapat dicecah
Redah!
Biar rebah

Sekurang-kurangnya
suatu hari nanti ketika
kau akan dapat berkata
'aku pernah rebah demi kerananya'.

~Po.

Tuesday, July 08, 2008

Barangkali...

...

barangkali,
nafas itu ada selang dan seli

barangkali,
getar itu denyut-denyut nadi

barangkali,
bara itu jamahan api

barangkali,
dingin itu mainan hati

barangkali,
cinta itu sudah mati

barangkali,
kau masih tidak mengerti

barangkali,
kau dan aku
bukan takdirnya bersatu

barangkali.

~po & nid
(bukan puisi diri)