Wednesday, January 30, 2008

Aku Masih Mahu Menulis Puisi Di Sini

...

Suatu waktu
Sembilanbelas tahun nan lalu
Tatkala kawan-kawan meninggalkan aku
Ramai-ramai masuk U
Aku jadi mati kutu

Aku belajar malam siang
Dengan tekad dan harapan
Aku nak tinggalkan kampung halaman
Nak naik bas ekpress malam
Aku nak jadi manusia harapan

Dapat keputusan peperiksaan
Kurang sikit dari cemerlang
Tanya cikgu-cikgu Tingkatan enam
Mereka sebulat kata mencadangkan
'Awak layak ambil jurusan undang-undang'

Di rumah, aku sampaikan khabar
Mak sudah tersenyum lebar
Arwah ayah dah duduk bersandar
Anak mereka nak pergi belajar
Masuk universiti di tengah bandar

Malam menjelang hari pendaftaran
Dalam sejuk bas ekspress malam
Aku terbayang-bayang
Aku terkenang-kenang
Bagaimanakah nanti gerangan
Hidup aku di rantau orang

Tiba di Hentian Putra subuh-subuh hari
Tempat bas berhenti sebelah PWTC
Solat Subuh dalam surau berhimpit bagasi
Takut nanti orang curi
Dah lah poket tak berapa berisi

Usai solat , aku tahan teksi
Cakap nak pergi Malaya Universiti
Drebar teksi menyeringai gigi
‘Kita tak pakai meter pagi-pagi gini’
Bayar lima puluh ringgit atau jalan kaki
Kalau bukak bonet, tambah duit lagi
Kira-kira semua sekali
Baik aku tunggu naik matahari

Pertama kali
Aku menjejakkan kaki di universiti
Sendiri
Bukan mak dan ayah tak mahu temani
Aku bimbang nanti
Mereka jauh-jauh jalan kaki
Lalu sesat di belakang mati
Nak naik bas atau teksi
Bukannya mereka reti

Hati sedih bukan kepalang
Melihat orang lain datang
Di iring ayah dan mak tersayang

Dah masuk Universiti
Kena lalui minggu orientasi
Kena jerit setiap petang, malam dan pagi
“senior sir ! yes sir!” sekuat hati
Aduh, kena menyanyi lagi
Aku dah susah hati
Mahu gugur suara dari peti
Kalau sepanjang pengajian terus begini

Selepas orientasi berlalu
Budak kampung macam aku
Terenjat kejutan budaya baru
Dengan perempuan ber’I’ dan “you’
Kadang-kadang cuma ‘kau’,’aku’
Kat kampung masih ‘saya’ dan ‘awak’ macam dulu-dulu

Menapak ke kelas setiap hari
Keringat menitik kanan dan kiri
Aku dah rasa macam patah kaki
Tak boleh jadi ni
Tulis surat, suruh Ayah pos motor buruk naik lori
Tapi mak tak bagi
Katanya;di bandar jalannya sibuk setiap hari
Mak takut aku berlanggar dengan bas mini

Dalam semester cuti
Aku pujuk mak lepas Isya’ dia habis mengaji
Aku janji
Aku jaga keselamatan diri
Aku akan belajar bersungguh lagi

Airmata mak menitik
‘kau buatlah apa yang kau rasa baik’
Dalam sebak, tangan mak aku tarik
Aku cium dengan restu yang bukan sedikit

Empat tahun pengajian
Aku dapat macam-macam pengalaman
Baik pelajaran
Baik pengajian
Baik kehidupan

Dan adat berkasih sayang

Tiba Majlis Graduasi
Mak ayah berdiri di sisi
Aku yakin dan sangat pasti
Mereka merasa bangga di hati
Anak mereka sudah mampu berdikari
Tak sia-sia peluh ayah mencari rezeki
Tak sia-sia mak bangkit awal sediakan sarapan pagi
Tak sia-sia mak mengandungkan anak ini

Habis graduasi
Aku dah pucat lesi
Semua pejabat di kotaraya aku pergi
Tapi yang dapat, hanya sakit hati

Aku perlu menjalani latihan sembilan bulan amali
Dan semasa temuduga banyak kali
Mereka bertanya lagi dan lagi
‘awak ada kereta sendiri?’
Aduhai hakikat realiti
Mereka ingat aku anak menteri?

Akhirnya aku balik kampung
Sekurang-kurangnya hati mak tidaklah mendung
Duduk rumah berkira-kira nak tanam jagung
Mana lah tahu kalau-kalau untung
Boleh belikan mak sehelai dua kain sarung

Kalau Tuhan dah tentukan rezeki
Balik kampung ada tempat buat amali
Habis amali kerja dah menanti
Walau gaji tak tinggi
Yang penting, senang hati

Kini,
Ayah dah pergi
Mak pun dah tak berapa sihat lagi
Umur aku pun dah meningkat tinggi
Sudah tak banyak yang mahu aku kecapi
Dalam hidup yang singkat ini

Yang pasti
Aku akan kenang kembali
Liku-liku perjalanan ini
Buat kenangan di sanubari

Dan aku tidak peduli
Aku akan tetap menulis puisi
Di sini


Di sini.

~Po.

Sunday, January 27, 2008

Waktu

...

Berikan aku waktu
dan hulurkan aku cintamu

kerana waktu bisa menyembuh
waktu juga mampu membunuh

~Po

Saturday, January 26, 2008

Sejuta Pengertian

(Buat Man, buat Waterlily dan suami)
...

Membaca kisahmu
Bagai merungkai akar-akar yang penuh sembilu
Pedih memilu

Aku tahu
kadang-kadang
harga yang perlu kalian bayar
untuk cemuhan dan ejekan ketika membesar
dan sesekali di masa kini
terlalu tinggi untuk kami

kami yang amat jarang mahu mengerti
kami yang sengaja membutakan mata hati

kalian yang melihat hidup melihat dunia ini
dengan pandangan berbeza dimensi
dengan rentak langkah yang tersendiri
dengan hati ikhlas suci

dan kami
amat jarang mahu mengerti
mencari
menyelami
sebuah kelebihan azali
satu keajaiban Ilahi

Lantas, bila kalian berdiri
Tidak setinggi kami
Bila kalian berlari
Tidak sepantas kami

Kami seringkali terlupa
Semangat dan jiwa
Tekad dan daya

kami tak mungkin mampu mencapainya

kerana kalian nyata lebih istimewa.

~Po.

Dalam-Dalam Diam



Dalam-dalam diam
Nan dalam

Ada merah dendam
segunung makian
selaut cacian

Dalam-dalam diam
Aku menggelepar, aku menggelupur
Bersama pekik lolong yang berkubur
Dalam aku

Dalam aku
Ada retak, ada beku
Ada teriak, ada buntu

Jangan kau cuba, jangan kau ambil tahu
Biarkan aku
Tinggalkan aku
Bebaskan aku

dan

Maafkan aku
Jika diam aku
Sebuah kembara ke penghujung pengertianmu

Aku hanya ingin mencari diri aku
Dalam berjuta-juta diamku

~Po.

Saturday, January 19, 2008

Malam Tadi, Abah Bermimpi

...

Anak-anakku,
Malam tadi
Abah bermimpi

Abah bermimpi
Kalian pergi mengaji
Dan balik sendiri
Berjalan kaki
Setiap hari

Abah bermimpi
Kalian berjalan ke sekolah di awal pagi
Dan pulang tengahari
Sendiri

Abah bermimpi
Kalian berkejar-kejar berlari
Dalam gedung pasaraya gergasi
Berpusing-pusing di kaki kami

Abah bermimpi
Kalian ke pasar malam membeli roti
Berhampiran rumah kita ini
Dan pulang kembali
Lantas tertidur di depan tv

Abah bermimpi
Kalian bermain di taman permainan
Di hujung perumahan
Setiap petang
Dan pulang
Sebelum senja menjelang

Abah bermimpi
Damai memenuhi setiap ruang setiap inci
Dan kalian merangkak, berjalan dan berlari
Dengan persekitaran semulajadi
Dengan tiada risau di hati-hati kami

Anak-anakku
Sayangnya itu hanyalah mimpi
malam tadi

Sukar untuk Abah melelapkan mata lagi

Anak-anakku
Dunia ini sudah tidak selamat lagi buatmu.

~Po.

Tuesday, January 08, 2008

Kejutkan aku bila tiba waktu itu.

...

Kejutkan aku
Jika aku terlena lagi
Kala mimpi mengundang pasti
Sentuhan hati nurani
Tunas kasih yang bersemi

Kejutkan aku
Kala aku sedang berteleku
Memikirkan hidup yang tak pernah cukup waktu
Kerana hakikat kesempurnaan itu
Dirimu pelengkap pada setiap ruang dan liku

Kejutkan aku
Kalau aku masih bermimpi
Tentang suara-suara hati
Di ruang-ruang yang sepi
Alunan kehidupan yang tidak pasti
Kaulah kehidupan aku, di sini

Kejutkan aku
Bila hujan mulai berhenti

Kejutkan aku
Aku mahu merasai sinar pagi
Menjamah cahaya abadi
Merasai dingin hembusan nafasmu lagi
Bagaikan bayu membelai hati

Aku pilih dirimu, pasti
Bila takdir kita bersama nanti

Jalur-jalur pelangi hilang seri
Tanpa dirimu di sisi
Gerimis pecah dijaring mentari
Sekilas rasa kasih yang bersemi

Dikau sentiasa berdiri di sisi
Kala hujan mencurah ke bumi
Kala terik pancaran mentari
Tidak berganjak, walau seinci

Kejutkan aku bila tiba waktu

Aku mahu melihat senyumanmu
Aku menanti hadirmu
Dalam mimpi
Dalam sedar meronai
Hakikat realiti

Kejutkan aku bila tiba waktu itu

Sebelum aku tak mampu terjaga lagi

~Po.

Tuesday, January 01, 2008

Bukan Aku Nak Kata...

...

Bukan aku nak kata
Tapi itulah kenyataannya

Kalau di tempat mereka
Sebelum terjadi apa-apa
Mereka berusaha mencegahnya
Mengkaji segala kemungkinan yang ada
Dengan segala daya dan upaya

Kalau di tempat kita
Lepas terjadi bencana
Barulah sibuk ke sini dan ke sana
Mengubah dan meminda
Membuat cadangan dan Akta
tapi akhirnya setelah lama
bak kata Karam Singh Walia
'bagai melepaskan batuk di tangga'...

Bukan aku nak kata
Tapi itulah kenyataannya

Kalau di tempat mereka
pasukan tewas di kejohanan peringkat dunia
Walau hanya nasib yang tidak menyebelahi mereka
Pengurus dan jurulatih bersama-sama
Letak jawatan sebagai tanda kecewa

Kalau di tempat kita
pasukan tewas di pusingan kelayakan piala dunia
bagai budak sekolah mewakili negara
Pengurus dan jurulatih saling bercerita
Kita tewas bukan sebab kita tak sedia
Kita tewas sebab padang tak rata!

Bukan aku nak kata
Tapi itulah kenyataannya

Kalau di tempat mereka
Pukul lapan mengikut rancangan jadualnya
tujuh empat puluh lima mereka dah bersedia nak mula

Kalau di tempat kita
Pukul lapan tertulis di buku atucara
Pukul sembilan empat puluh lima
Tetamu kehormat baru nak 'start' enjin kereta
Tak mengapa
'Mereka tetap akan menunggu saya'

Betul
Bukan aku nak kata
tapi itulah kenyataannya

Kalau di tempat mereka
kalau putih keputusannya
maka putihlah kesudahannya
tak ada sesiapa yang boleh cakap apa

Kalau di tempat kita
kalau putih keputusannya
boleh lagi di ubah menjadi jingga
dengan syarat, ada imbuhannya
alah, kita boleh 'adjust' segala benda

Bukan aku nak kata
Tapi itulah kesudahannya

Kalau di tempat mereka
Para pemimpin yang terpecah rahsia
Skandal di sini kontroversi di sana
Esok keluar berita utama
'Saya letak jawatan serta merta'

Kalau tempat kita
Terbongkar sudah segala rahsia
Dalam lif, dalam kamar hotel dan cakap-cakap biasa
Terpampang video dah tak boleh cakap apa
Masih mahu temui pemberita
'Saya masih jalankan tugas seperti biasa'

Sumpah
Bukan aku nak mengata
Memang itu kenyataannya

dan...

Ada-ada saja alasannya.

Ah! Malas ah aku nak cerita.

~Po.