Thursday, March 31, 2005

Briyani Amal

Assalamualaikum Encik.
Saya...
Ha? Apa ini Encik? Dua ringgit?
Tapi Encik...
Terima kasih.
Assalamualaikum.


seharusnya bila dihampiri
janganlah buat-buat terburu-buru
semacam dikejar dik hantu
setidak-tidaknya bila didekati
janganlah dikecam melulu
seolah kau lebih baik dari aku
yang sebenarnya tak semenggahnya aku
ditakdirkan hadir bertamu hari itu
termangu-mangu dalam belenggu istana emasmu
bukan untuk membelit mengaut hasil peluhmu
cuma menitipkan harapan mereka yang ada perlu
bukan untuk aku

lintasan hatiku suci dari hasad
kuhulurkan tangan sebersih hasrat
membentang peluang mencari berkat
supaya istana emas tidak berkarat
tetapi lihatlah apa yang aku dapat
dengan dua ringgit aku dihambat
pintu ditutup rapat tak sempat-sempat
nampaknya tak berbaloi senyumku berkilau-kilau
tak berhasil usaha seekor tungau
belum mencelah mulut aku disambut payau
hendak diherdik pintu aku belum lagi sasau
kacau...

rasa macam hendak saja aku teriak
baru macam ini sudah mahu berlagak
engkau tak mahu aku lagi tak ingin
otak kecil penuh dengan angin
percuma saja aku mendapat dosa
walhal engkau yang tiada bahasa
nasi biryani amal aku sepuluh dollar sebungkuslah
dua ringgit ini mana aku nak letak hah?

Tuesday, March 22, 2005

Teman Aku Itu

Ya lah.
Yang dinamakan seorang teman itu
adalah dia yang takkan lari
teguh berdiri sabar menanti
maluku diadang
lalu aib ditutupi
mendakap memimpin aku
menuju keredupan teduh dari diterajang dik malang
Itu
Itu yang dinamakan sahabatku

Dia tak pernah menagih-nagih
mengkecek-kecek
agar dunianya semerbak harum
dengan bauku
walau agak selalu
lencun dengan peluhku
airmataku
tatkala pertimbanganku cetek
fikiranku pendek
tak pernah pun kudengar dia mengaduh letih
Ini
Ini dia saudara sejatiku

Baik.
Aku yang selalu bertangan di bawah ini
yang menadah menerima ihsan bertalu-talu ini
muka setebal tembok tak tahu malu ini
Akulah itu.
Yang cuma berupaya mencuba sekadar mampu
mengenang budi dalam ingatanku dalam doaku

Ya lah.
Yang dinamakan seorang teman itu
tidak sombong
tak bengkeng hati tak gelap lohong
bisu dari berbohong
sentiasa senang didampingi
dalam sedih
dalam jerih
sama-sama bertatih
sama-sama melirih
sendiri aku tak pernah sunyi

Ya lah.
Nama pun dikatakan kawan bukan?

Monday, March 21, 2005

Persoalan Umur

Wahai umur
Bibit bibit hidup terasa sungguh singkat
memori datang dan berlalu seakan cepat termampat

Wahai umur
Ketika darah pekat mengalir
Segala isi gumpalan saraf yang menuding urat jari
Aku terlupa

Wahai umur
Ketika darah berdendam kesumat
Tenaga tak pernah disukat
Aku terleka

Wahai umur
Tulang belulang aku pantang disentuh
dihiris
dipermainkan
Cepat saja merah melanda diri

Namun hari ini bila dihiris
Aku tak mengganas tapi lekas merintih sepi
Malah menangis hiba sunyi
menghampar laluan kehidupan
Cepat saja bunga ini kan layu
Mengerekot berkerepot kekeringan
dedaunan melayang menderu-deru

Namun cita cinta belum berjumpa arah tuju
Aku mengharap pada susunan Yang Satu

Antara arah aku dan mereka
tidak pernah aku peduli
kerana masa itu aku hanya disini
di hamparan ini

Tulang belulang yang dulu megah
Kini bertahiyyat tertunduk malu
bila meminta belas Ilahi
di hamparan ini lagi

Sejadah yang lesu kaku berbuku
Kini hadir kembali tika engkau memang mahu
Pakaian serba baru berbau gegat bila tergadah
Dipakai bila terlintas perlu
Tangan kerdil yang dahulu tak pernah menadah
Kini terhulur kearah kiblat
Bergolak jua rasa cinta yang selalunya didamba sekadar ingat

Wahai umur
Jikalau rasa cinta ini semakin mekar
Kejutkanlah aku dari bangku aku ini
Bertahun bertapa ditakuk lama
Dekad yang ini terasa lain sekali

Wahai umur
Jangan lagi kau lemparkan aku dalam kehinaan
yang aku cipta sendiri
Kononnya sekadar hiburan
Seolah hidup beraja hati
Bersorak sorai di kancah peleseran

Suara-suara dari dalam seakan merobek
menikam dan mencarik nada-nada pilu
Berdarahlah hati ini
membuatkan makin terasa hampirnya mati
mengketuk ketuk mendendang cemas menganggu tidurku

Wahai umur
Semakin panjang dirimu
Semakin takut aku lalui jalan hidup ini
Keriput di hati dioles keajaiban abadi
Samar di mata meraba-raba sendiri

Wahai umur
Semakin setianya engkau pada aku
Semakin lara diri ini
Semakin berlari kamu
Bergolek maju termeteri
Yang dulu sekadar rindu

Wahai umur
Andai nafas terhenti
Nadi tak berbunyi
Matakan tertutup
Akukan terbaring dilitup
Iringilah aku ke jalan yang suci

Wahai umur
Belum beroleh permata sudah berombak-ombak semput
Belum belayar perahu merintih berkerut-kerut
Sambutlah aku dakaplah daku
Sebelum dipisah jasad bertemu Penciptamu

Azalea/Mohariz
2.48 am
Selasa,22 Mac 2005

Sunday, March 20, 2005

Muhasabah II

Sama berdiri dibuat kawan sama bersujud rasa menjadi
Sama rambut cantik melangit tapi sama bila dihati
Sama rambut cantik melangit tapi tak sama bila dihati

Yang satu bertompok hijau yang satu hitam sekali
Yang murah baik sekali yang mahal tak jejak dibumi
Yang rendah dipasung kaki yang bersayap sayup sayup tinggi
Yang tinggi jatuh berderai yang rendah rebah sampai terlena

Akan tiba hari yang terlena itu terlentang hamparan menyambut jatuhnya
Bukan sahaja terlentang malah berkecai serpihan jatuhnya dari langit yang tinggi
Bersepai berserak hantukan bersambut berlapik menyentuh bumi

Apa lagi yang bernilai andai semua berkecai berderai
Bila dahi serentak bersentuh hamparan berkiblat janji termeterai
Bila sedih tersedar bahawa kerdilnya diri mengadap Mu

Mac 21.2005.2:00 am
Kaedah bergilir
Azalea/Mohariz

Masa Berlalu

Daun gugur
Bunga layu
Ranting patah
Pokok Mati

Begitulah lumrah ia, kerana ia tidak lagi menoleh ke belakang

Musim berganti
Saat berdetik
Muda semakin tua

Memang ia tak akan menoleh kebelakang

Sedih semakin sedih
Hati semakin sayu
Muram semakin menghimpit

Sedarlah apa yang berlaku ia tidak akan menoleh kebelakang



Mohariz Hj Yaakup
Kajang Selangor

Sunday, March 13, 2005

Hang Tuah hang tau tak?

Kepada Hang Tuah


Hang Tuah...hang tau tak?
sekarang tanah melayu dah moden..
Sekarang dah ada LRT,Monorail,Komuter dan ERL
Tanah Melayu ditukar namanya jadi Malaya pada mulanya
Kemudian jadi Malaysia


Hang Tuah hang tau tak?
Sejak tuan hamba tak balik-balik
Orang di tanah melayu ni dah semakin ramai
Ada macam-macam suku kaum.

Hang tau tak?
Sekarang Malaysia dah semakin kaya
Orang-orang dah tak mandi kat sungai
dah tak berak merata-rata

Hang Tuah hang tau tak?
Dari tanah melayu sampai ke Malaysia
Melayu tetap sama
Tak ubah... kesiannya

Sampaikan salam saya pada Jebat,Kasturi lekir dan Lekiu...Nama tuan hamba sekelian dijadikan nama jalan di Kuala Lumpur

Wednesday, March 09, 2005

Ledakan Tenaga

Berinduk basmalah bukaan kata
tembusi rawak cakerawala
nan luas
nan rawak
berselerak...
sekilas halilintar serakah tenaga
bercantum berpusu pusu
menjadi halus dan lurus
As-Salaam nan Satu
Yaa Malik Yaa Quddus

Berbunga induk penghulu wahyu
Perbendaharaan Arasy Asba'ul Matsany
Segenap penjuru alam diseru-seru

Terperosok di balik sunyi
Sekujur pengemis tagih simpati
Walau malap
Walau sepi
Walau lalai dalam berabdi
Dalam bergelap
Dakap kembali
Lalu terbit ihsan insani
Berbisik sendiri
Yaa Khabir Yaa Halim

Takungan jiwa bergejolak jua
berkerekot memohon belas
mohon kasih
mohon cinta
dasar pengemis meminta-minta
dalam malu ada yakin
dalam ikhlas
dalam mengharap lalu hadir jua
sebentar saja
bertenaga
cemas sekelip mata
hangat
berdesing
menciut telinga
ada sedikit perit
Anugerah bukan sedikit
Al-Rahman Al-Rahim

Di hujung sana istirehat lalu lena
Di sini keliru dik banyaknya pintu
cahaya bersemarak
walau berserak
luas dan rawak

Khalast!

Saturday, March 05, 2005

Buat Kali Terakhir

Mencinta hati mu
Untuk yang terakhir kali ini
Lihat ku disini
Setia untuk diri mu

Kasih yang ku belai
Gugur untuk selama-lamanya
Waktu yang terpisah
Menghukum luka yang lama terpendam

Kesuraman yang telah menjelma
Dihujani sedihku
Melarakan di jiwa ku ini
Di akhir permergian mu ini

Tinggalah aku
Menanti erti yang semakin membakari hati


Hanyalah diri mu
Yang bertakhta dihati ku ini
Tak rela memendam
Sedih hati ku ini


Bersemadi cinta ku disini
Biar mekar mengharumi
Andai ada cinta disamping mu kasih

Aku Driver

Aku driver terhebat
Umurku muda badanku sihat.
Tiap hari aku memandu. Dari KL ke Batu Pahat

Aku driver terhebat
Hidup sederhana belum berumahtangga
Namun hati ku belum pernah ada
Kalau dapat ku kawin jua

Aku driver terhebat
Hatiku baik tak pernah tipu
Walau seringgit di dalam saku

Aku driver popular
dapat berlakon di dalam TV
semua orang memuji belom kira mengeji.

Tapi aku driver
Kemana tetap akan jadi driver,
Bilalah dapat aku dapat mengubah
Dari Driver ke tuan besar.

Insya Allah

Malam

Malam..

Tika sunyi ditemani bunyi cengkerik
Tika ada saja yang lena
Tika ada yang masih berjaga sedangkan dari siang dia masih belum tidur

Malam..

Kenapa bila malam aku sering teringatkan semua orang
Kenapa bila malam aku sering saja sedih
Kenapa bila malam saja fikiran tu tak tentu arah

Malam

Tatkala malam perasaan yang selalu membungkam
memikirkan kemanakah arah aku.
Bila malam aku selalu saja memikirkan tentang dia.
Apa yang aku mahukan yang tidak pernah ada ruang untuk aku berdiri.

Malam

Bila aku seorang tidak ada teman
Seribu satu persoalan bertamu.

Malam

Izinkan aku lena di permaidani ini
Agar siang ku akan gemilang seperti jutaan bintang-bintang
Berkerlipan melilitkan dirimu

Thursday, March 03, 2005

Corat Coret Hentam Keromo Semberono

I-mohariz
Biar hasil di hujung bantingan tulang beri cerminan nilai yang ada.
Biar kejung lontaran nista bila khabarnya tak semolek rupa yang seadanya cantik. Persetankan.

II-kakteh
Gemersik suaramu dan lintasan potretmu kini dapat kusematkan pada bicaramu. Nama kini berwajah, madah bernadalah sudah.Manis...Manis sekali.

III-kakteh
Dalam jelek memang indahnya bersih,
dalam indah jeleknya selayang pandang

IV-kakteh
Bayu dititip dari teluk biruku
Biar dinginnya mengaman rindu
Cerahkan warna,lontarkan kelabu
Kisah sendu angin berlalu
Pantai asing surut dahulu
Pantaiku putih sambut rangkulanmu

V-mohariz
Yang kekar tak bererti gagah
Yang mekar tak bererti indah
Bila gerimis badan tak basah
Penglipur lara gugup berhelah

*Demikianlah rawak berselerak pancawarna perkataanku bila bersinggah.
*Rentetan nota-nota yang kusampaikan kepada geng gebang di blogspot . Lalu ku rangkaikan supaya tak pupus

Haruslah Percaya

Teman tangis tiada
Teman ketawa sementara
Di kala sendiri
paling di cari ada di sisi.


Seketika cuma rasa bahagia
Di dunia.


Haruslah percaya Agungnya
Yang Maha Esa tak pernah lupa
Limpah kurnia kasih sayangNya
Haruslah percaya Agungnya.

Di mana adaNya
Di situ megah rasa cinta
Kasih yang mengalir
damai terukir yang terpilih.

Rindu yang tersisih dakap kembali
dalam hati.
Di hati...

Muhasabah

Pernahkah terdetik dari sudut hati yang luhur
di mana letaknya kemegahan umur

Saat diri dimakan waktu,saat zaman menyisir pergi
rahsia langit dunia diukir yang jadi gelora sisipan hati

Kalutnya diri semakin meracau, bergolak dunia semakin sempit
bila belayar badai dirantau, malah di lupa tika berakit

Disitu baru kau tahu antara celik bertemu mimpi
Disitu baru kau ragu antara jelik pakaian sendiri

Tika angin garang menghembus terlupa diri sehalus benang
kalutnya terkapai tua renta kelak tenggelam tak bisa berenang

Takkan ada tangan yang sudi menghulur kala lemas dibadai lautan
baru ditempelak belenggu azab antara mati dan gelodak kebangkitan

Disitu baru kau tahu antara celik bertemu mimpi
Disitu baru kau ragu antara jelik pakaian sendiri

Oktober 11.2004.2:55 am
Kaedah bergilir
Azalea/Mohariz

Semalam,hari ini dan esok...

Semalam...

Beberapa jam yang berlalu,
telah aku buangkan saja setiap detik belalu,
tak pernah aku lihat saat yang telah dilalui,
semalam bermula kisah
Perjalanan cerita baru bermula...di mana antara
persahabatan yang berkurun lamanya akhirnya
dibuang kedalam longkang...
Apakah persahabatan bermula dari semalam..


Hari ini berakhirnya satu persahabatan
dan bermulanya kisah yang baru persahabatan yang baru.
Moga semalam tidak lagi menjadi hari ini..
Hari ini buku yang baru dibuka. Mukasurat baru diselak.
Tinta serta pena yang baru diguna.. kisah persahabatan bermula lagi..


Esok
Belom ada petanda bagi esok adakah persahabatan ini akan tamat
atau bermula lagi persahabatan yang baru..
Cuma tuhan sahaja yang tahu..tiada lagi mungkin