...
Aku ketuk pintumu Gaza
di hujung malam
yang kelam tanpa bayang
titis-titis air
yang merembes di kaca jendela
bukan jernih
kau buka pintumu Gaza
dengan wajah berkelubung
hitam berkabung
dan titis-titis air
yang merembes di kaca jendela
merah darah
bersimbah
aku ketuk pintumu lagi Gaza
walau pintumu terbuka sayu
kerana aku tidak mampu
masuk dan tidur berselimut
di satu sudut
bersama anak-anakmu itu
aku ketuk pintumu Gaza
aku ketuk pintuMu Tuhan
Terhentilah kezaliman
bersaksikanlah kemenangan
biar titis-titis air
yang merembes di kaca jendela
sejernih airmatamu
Gaza.
~Po.