Tuesday, February 19, 2008

Gerobok

...

Masih aku ingat
sebuah gerobok buruk
di dapur yang ceruk

Setiapkali aku pulang petang
setelah tamat masa persekolahan
sebaik lucut beg disandang
Aku akan berdiri di depan

gerobok buruk
di dapur yang ceruk

Aku tahu
tiada apa-apa yang ada disebalik pintu
aku tahu
perut aku akan tetap berlagu
aku tahu
yang ada hanyalah ikan kering, belacan dan botol budu
aku tahu
aku hanya mampu mengharapkan sesuatu

Bukan aku
tak tahu

Daun-daun pintunya
tetap aku buka
dan memang tiada apa-apa
lalu aku tutup semula

Setiap hari
masih aku ingat lagi

Bukan aku sahaja
malah, semua adik beradik pun sama

Bila aku dan mak bercerita semula
dalam aku ketawa
dalam aku suka-suka
dalam kami menjamu selera
hidangan penuh meja

Mak mengalirkan airmata
rupa-rupanya
mak tahu
dan mak sedar sedari dulu
kisah anak-anaknya dan gerobok buruk itu

tapi mak tak mampu
menyimpan roti sebuku
di sebalik pintu
gerobok buruk itu

Tidak mengapa mak
membuka daun pintu
gerobok buruk itu
sudah cukup menghilangkan sendu
sudah cukup menghilangkan laparku

dan gerobok buruk itu cukup mengajar aku
erti roti sebuku

~Po.

Monday, February 04, 2008

Bahawa Aku

...

Kesakitan ini bagaikan belati
menghiris tangkai hati
dan tanpa aku sedari
darah-darah merah membasahi
melumuri
jalan-jalan yang aku lalui

Pasrah aku berserah
menanti masa aku rebah
dan garis-garis yang tersimbah
pada batu-batu tanah
menjadi tugu yang gah

bahawa aku
tidak pernah kalah

~Po