Thursday, June 30, 2005

salam

Assalamualaika ya sidiqun
buka tabir dalam tidurku
apa khabarnya dia di jepun

assalamualaika ya qaihaq
gerakkan aku bangun besok
sebelum ayam berkokok
kerana terkadang aku malu sendiri
tatkala mulutku masih memeram air liur basi
kucing kucingku dah mandi pagi

assalamualaikum qudus kidam kamfas
tolong kawal aku ketika beradu
kerana wujudku sebaik kejadian
dan kamu semua malaikat malaikat utusan

Wednesday, June 29, 2005

antara hidup dan mati

antara hidup dan mati
seharusnya mati yang ku pilih
bukan atas kecewa
tapi dasar mati ada nyawa
ada ketawa, ada duka, ada sempurna dan ada kekalnya
dalam matilah tersusun segala atur acara
sedang manusia tiada daya

para pemikir beretorik
hidup sekadar plastik
menyusur nyawa sebagai simbolik.

sedang Sang Pengatur pesan berkali
hidup, sekadar DIA mengizini
selainnya pilihan pasti
supaya bila mati dan dihidup kembali
tiada DIA dikhianati
dengan segala caci dan cerca
bagai iblis yang terjun dari syurga
menyebar berjuta dusta

/dzan
june 2005

Tuesday, June 28, 2005

pantun nan kasih

rindu jentayu pada mu hujan
kemarau dijemput dahaga berpanjangan
kasih ku sungguh pada mu Puan
sedangkan cinta sudah kesampaian

kota roboh dibiarkan sengaja
kecek melaka nampak sempurna
sepantun kasih dipiring ku lukis
mengharap curiga kian terhakis

ciuman ditelapak berbau tidak
kecondong ku umpil kelemahan ku anduh
puan menukil hamba berkehendak
hidup berkasih bercumbu nan utuh

/dzan
june 2005

Monday, June 27, 2005

Pulanglah

Waktu sudah bertongkat kuku
yang menitis jadi sebongkah batu
terlampau lama membungkam rindu
dalam lesu masih menunggu
lebam tubuh dicambuk sesal
terlantar susuk hilangnya anjal
kejung terpinga beralas bantal
mimpi buruk mainan akal
bukan tempat kita untuk merajuk
bukan tempat kita minta dipujuk
periksa dudukmu
sebelum berbaringan
buang hempedu
sebelum diperbaringkan
Pulanglah
tidak luak kalau beralah
Pulanglah
sebelum tergadah.

Sunday, June 26, 2005

tutuh

semalam
aku terlihat engkau
menutuh buluh memakai kapak
semuanya menjadi rosak
yang hanya tinggal rumpai
maksud dihati tak tersampai

aku ternampak lagi, engkau
menyiang semak memakai pisau
mencantas sampai jenuh
sesampai embun pun mula rapuh
benderangkah cahaya? tiada
sekadar luka kian terasa, berbisa

menutuhlah rumpai, sahabat ku
dalam tertib, beratip
supaya niat dan laku
berupaya menerangi suasana
tiada keruh bersabung nyawa
pada senjata yang tiada makna

/dzan
june 2005

Saturday, June 25, 2005

pantun bersimpuh

kenapa getah dibawa ke lalang
dibawa pula kedalam semak
kenapa diri bernasib malang
lantaran pengaruh manusia mendesak

bau mu geruh tiada tercium
geruh bersimpuh kedalam tubuh
apalah daya nama mengharum
kalau fitnah datang bersungguh

didalam dua bertengah tiga
sesudah berkilat berkilau lagi
berjati-diri gemulai ku bina
biarpun nafas terpaksa berhenti

/dzan
june 2005

seloka

Satu masa yang telah silam
Tak dapat diambil kembali
Melayu mashyur serata alam
Hidup mewah gagah sekali
Pahlawan kita nama terbilang
ditakuti ramai perwira
Melawan musuh tak terbilang
Gerak semangat kerana bangsa

Kelekaan jangan dikenang
Lautan duka kelak dikenang
Hampir tinggal sehelai benang
Bencana sengaja dipinang
Jika perhati bangsa dagang
Kapak beliung ditangan memegang
Kekayaan hendak diregang
Akhirnya saudagar pangkat dijulang

Disulami syair termashyur
Usahlah berdengkur
Kita jua yang bertafakur

Yang mana khilaf tegur menegur
La..la...la..la...

Kulitnya bersih, hati pun bersih
Budi yang baik hatinya pengasih

Kulitnya bersih hatipun bersih
Memikul belati tiada memilih

Jadikah bersih hatipun bersih
Berkata bermulut fasih

Jadikah bersih, hatipun bersih

Dialah khazanah pintu terpilih
a.a.aa...aa

Awak yang payah membelah ruyung
Orang bertandang yang beroleh untung
Akhirnya kita tak akan dihitung

Thursday, June 23, 2005

siapa

siapakah yang dulu mengajar aku
erti berjabat dengan sahabat
memateri semangat berjihad
melawan seteru yang tiada puas berkeringat

siapakah yang dulu mengajar aku
erti budi memberi yang tak terperi
walau kerap difitnah diri
terbanting kelongkang hilang jati-diri

siapakah kini yang mengajar aku
erti ikhlas pada diri yang tersembunyi
ternyata kepuraan bertaksub budi
terkedu perasan setelah dikhianati

/dzan
june 2005

Wednesday, June 22, 2005

Ada Rindu

Tiada perkataan lebih indah
membicara rindu
sedetik kutempohi kurasakan
beribu berlalu


Bilakan ketemu lagi
asyik ku termimpi-mimpi
naluriku menyendiri
sepi dalam hati


Ada rindu dihatiku
asmaramu yang agung
Ada rindu pada yang satu
Semarakkan cintamu untukku


Walau tak bersua
tiada ragu dihatiku
panahan pesonamu
hatiku hanyalah milikmu


Hanya pada kamu
berbungalah rindu
cetusan hatiku luhur
Hanya pada aku
mekarnya cinta mu


Semarakkan cinta
yang kita bina
ke akhir masa
masih menyala
buat selama-lama
bersamaku
pinggirkan sendu syahdu
cintailah aku
hadir dalam ruang sepimu itu

Dalam Mimpi

dalam ulitan mimpi kau terjah kosmos rinduku
lalu kau titip bisikkan syahdu
aku termangu
tanganku menggapai cuba mencapai bayangmu
tapi kau seperti angin
sepoi saja meninggalkan aku
walau sentuhan jemarimu
masih hangat terasa di pipiku
namun yang tertitik adalah air mataku
sedihkah hati ini?
kata mereka jika sayang ditinggal-tinggalkan
tapi aku tidak bisa sendiri
bukankkah lebih enak jika kita bersama?
aku tidak mahu lemas dalam lautan
yang tidak bisa kurenang sendirian
kau sedar bukan?
diri kita ini ibarat sepasang mata
sama melihat
jasad kita ini ibarat sepasang telinga
sama mendengar
gerbang kasih ini masih teguh berdiri
tapi tegarkah ia esok hari
aku berdiri sendiri di bawah lembayung rindu
menunggu kasihmu datang bertamu
engkaukah itu?
di hujung kejora yang merah
menyala garang dengan amarah kah?
atau cinta kah yang kau bawa
bersama rona terang menyilaukan mata
kenapa tanganmu tidak dihulur seperti selalu?
terasa bibit-bibit luka terjahi hati
bukankah ini mimpi
mana bisa aku disakiti
semakin hampir kau kepadaku
bibirmu mengukir senyum
mataku perlahan meniti lirikanmu
kepada bungkusan kecil erat dalam pelukanmu
kini hatiku menjadi tidak keruan
terharu berbaur gembira
ini rupanya pemberian
si kecil menanti kasih sayang
bukti hati ini sentiasa terikat
rasa hatimu, keinginanmu
tergambar dalam mimpiku
tercermin
rasa hatiku, keinginanku
inikah cinta?

Wednesday, June 15, 2005

bicara suami buat isteri

bertasbih aku mengharap ikhlas
bersih, dari mu Puan
aku menatang kasih, jernih

bicara ku
janganlah menangis,
hanya kerana aku tiada lagi romantis
janganlah hiba
hanya kerana aku mudah lupa
tarikh penting hidup semasa

janganlah mengadu rindu, bercelaru
berkeluh resah berkalislah, cemburu
sepi, jangan menguasai
pilu, jangan menakluki
biarpun langkah ku jauh, mencari rezeki

maafkan aku sayang,
istana ini tiadalah seindah rupa,
ketawa kita tiada juga selamanya
sesekali jerit perisian hidup sempit
serasa pahit bak nasi terhimpit

engkau, isteri yang aku akad
aku, suami yang restu terikat
kalau kesempurnaan yang ku cari
apalah diri tiada daya mengimbangi
bertegarlah, walau cinta nampak tercalar
berkentallah, walau fitnah datang berlegar
sebenarnya cinta ini,
merentasi hidup dan mati, Yakinlah

layarkanlah curiga durjana
berfikirlah dengan mata
lantas terlihatlah dengan telinga
berdengar-dengarlah dengan minda
barulah hidup rapi bermakna, bahagia

saat kerjaya kian terbanting
bersama putera-puteri kita bermain
ketika kawan bertandang, bersaing
mertua dan ipar-duai usahlah engkau berpaling

jangan terbisu sayangku
takut mengganjur bersama seteru yang bertamu

/dzan
june 2005

****** Puisi khas untuk para isteri (or suami) sebagai salam pengenalan dari dzan. 3ma kasih puisi-relay kerana mengundang aku kesini. Juga sebagai imbalan bagi puisi BICARA SEPI SANG ISTERI oleh lady nazrah. ********

Tuesday, June 14, 2005

Bahasa Syair

Pintu yang terpentang lebar
dalam kamar pengap dan gelap
lengkaplah jaringmu muruh
menjebakku dalam pesona,
dalam birahi

Antologi Puisi Penyair Yogya,1977
Adhy Asmara (editor).

***Kaedah reaksi spontan dari pembacaaan puisi penulis lain

Syair berkias bebas berhias kata

tak teruji benak yang beku

tiada berasa apa

Syair berhasil syahdu

bila kalbu disentuh

merentap sendu

Pitis yang bermuka dua

yang satu bercerita

yang satu bernilai

syair lestari sukma

aksara bicara

hati yang berbunga

bahasa berbudaya.

Sunday, June 12, 2005

Di Suatu Pagi Di Hari Rehat.

...

Di suatu pagi di hari rehat
Aku mencapai segebar kertas berlipat
Membaca tajuk, gagal menambat minat
Meniti dari berita ke berita yang termuat

Apa ke ceritanya ini?
Di sini mati
Di situ mati
Lantas mayat dibuang dalam kotak tv
Apakah nyawa semurah biji kuaci?

Membelek lagi

Apa ke jenisnya orang?
Di sini perang
Di situ nyawa melayang
Apakah helang sudah tak mampu bebas terbang?

Membelek lagi

Ah! Ruangan sukan
Cerita tentang skuad kebangsaan
Kecundang
Sebagaimana ramalan
Apakah kita langsung tak mampu menaruh harapan?

Membelek lagi

Kisah-kisah dari celah-celah kehidupan
Suami hilang bersama wanita simpanan
Isteri ditinggalkan dengan anak-anak kelaparan
Curang
Dendam
Apakah tiada lagi makna kebahagiaan?

Membelek lagi

Membaca berita-berita ekonomi semasa
Syarikat besar mencatatkan laba berjuta-juta
Semua berlumba-lumba disenaraikan ke papan utama
Mana orang kita?
Eh..tak ada?
Pak Mat masih menjual sayur dari van buruknya.
Sayur! Sayur! Lada! Petola!

Membelek lagi
Haa..berita khalwat
Anak-anak gadis bertelanjang bulat
Berselimut gebar di rumah tumpangan Lim Tat
Dan si jantan keparat?
Huh? Sudah lari terjun tingkap!

Membelek lagi

Anak-anak merapati
Belajar membaca dan mengeja ABC
Eh..ini bukan buku cerita fantasi
Ini surat khabar hari ini
Penuh kekalutan realiti
Penuh dengan cerita benci
Pergi baca buku Arnab dan Kura-Kura berlumba lari!

Membelek lagi

Akhirnya rehatku tiba ke penghujung
Membaca ruangan kartun
Ah! sekurang-kurangnya aku mampu tersenyum…

~Po

Saturday, June 04, 2005

Bicara Sepi Sekeping Hati

Hati wanita ini tersentuh lagi
Bicaramu menyelar kalbu
Tidakkah kau mengerti aku rindu?
Tidakkah kau tahu aku pilu?
Hati wanita ini menangis lagi
Sepi sendiri tiada berteman
Berkali-kali aku titipkan
Puisi rindu ungkapan syahdu
Tapi kau
Seperti mendengar omong kosong
Jeritan batinku seperti cengkerik
Membingit telingamu

Aku berdiri di sini!
Di hadapanmu agar kau sedar
Aku masih menanti
Aku berdiri di sini!
Di belakangmu agar kau tahu
Aku masih menyokongmu
Aku berdiri di sini!
Di sisimu agar kau yakin
Aku selalu menyayangimu

Aku masih menanti
Untuk kau berpaling
Menganggukkan kepalamu
Menghulurkan tanganmu
Lantas memelukku
Agar dapat kurasakan
Hangat kasihmu kembali

Aku tidak meminta belasmu
Kerana aku menyayangi hanya dirimu
Bila kau berupaya
Menyayangi selain aku
Aku tidak meminta bibit simpatimu
Kerana aku sanggup keseorangan
Bila kau di sana
Ketawa riang tanpa diriku
Aku hanya ingin kasih sayangmu
Dan kesedaranmu
Dan untuk kau kembali padaku

Hati wanita ini halus
Walau luar nampak gagah ala srikandi
Hati wanita ini tulus
Bisa terpalit, tercalit garis sepi
Jauh di sudut hati
Aku tahu kau tidak akan kembali
Satu hari nanti

Ini bicara sepi sekeping hati