Saturday, April 30, 2005

Bila poket kosong....

Pedih terasa bila poket aku ini kosong
Perut kosong berkeroncong dari slow ke fast tempo
Sambil terdengar percikan ukulele ting ting ting

Bila poket kosong nak bercakap pun tak mahu
Tekak kering teguk air paip
Terasa sedap macam air sirap
Kaki lurus jadi bengkok
Mana taknya berjalan balik ke rumah dari Jalan Bukit Bintang Ke Pandan Indah

Bila poket kosong nak cari kerja pun tak ada selera
Tambang bas mini pun dah naik
Seluk poket yang ada habuk
Itu pun nasib baik ada habuk
daripada habuk pun tak ada

Bila poket kosong nak mengorat perempuan pun takut
Nanti kena ajak belanja makan
Sedangkan kita pun dah sehari tak makan
Kalau makan pun mee segera.
Satu peket potong setengah

Bila poket kosong sebenarnya indah
Bila kita berada sekurang -kurangnya
Ada juga untuk beringat


Mohariz Yaakup
Kenangan Bukit Bintang ke Pandan Indah
1995

Surat Masyarakat Tikus Jalan Chow Kit Kepada Datuk Bandar

Tuan Datuk Bandar,

Masyarakat burung telah bermesyuarat dahulu meminta kepada datuk bandar
agar dapat membantu mereka hidup di Kuala Lumpur.
Tapi nasib mereka baik tuan datuk bandar telah menyediakan taman burung.
Jadi hidup mereka tidak lagi merempat mencari sisa makanan.
Yang tinggal sang gagak yang masih enggan hidup di dalam taman yang memang indah disediakan.

Seluruh masyarakat burung telah hidup aman damai dalam taman itu.
Kami masyarakat tikus pula timbul satu pula masalah.

Sekarang ini tempat kami mencari makanan telah terancam.
Masih banyak lagi doktor tak bertauliah yang tinggal bersama kami.
Mereka bukan sahaja tinggal malah berkongsi makanan kami.
Tempat pembuangan sampah tempat kami beristirehat juga
diganggu oleh pencari bekas tin minuman dan kotak.

Sepupu kami tikus putih dan saudara kami tikus belanda tidak lagi mengaku
kami ini adalah saudara mereka. Walaupun mereka hidup adalah untuk dieksperimen dan dibuat mainan sahaja. Itu pun mereka masih mempersoalkan keteluskan tuan-tuan yang membela mereka

Yang makin merisaukan kami adalah pihak datuk bandar datang untuk meracun kami
tikus tikus kota ini. Berlainan pula tikus tikus yang berada di Kampung Baru. Mereka mendapat layanan istimewa. Boleh dikatakan hidup mereka lebih mewah dengan makanan.
Kebanyakan dari mereka tidak lagi takut termakan racun tikus.
Malah mereka juga disajikan dengan makanan yang enak-enak.
Kami disini kebuluran..Terpaksa mencuri masuk ke rumah orang semata-mata mahukan makanan.

Kami pihak masyarakat tikus meminta agar penagih-penagih dadah, pengemis yang hidup melarat pengumpul barang recycle, kaki lepak dan pemeras ugut ini dapat di benteras sepenuhnya. Kasihanlah pada nasib kami ini. Kami juga tidak mahu masyarakat kami ini menjadi ikon. Seperti Padang Merbuk kami tak mahukan Padang Tikus. Tidak terlupa juga kehidupan kami disini juga dibanjiri oleh tikus-tikus dari seberang yang berhijrah kesini mengganggu hidup kami

Diharap permintaan masyarakat kami ini dipandang lebih serius...

Sekian Terima Kasih

Pintu Merajuk...

...kerbau yang kena

Pintu yang diketuk
tidak bersahut
walau kelibat di jendela
mundar mandir
bukan kerana takut
tapi kedekut
merajuk hati sinis disindir
rupanya lisut tebu di bibir

Yang diluar berpeluh-peluh
perut lapar jerih lenguh
penat sendi berakit-rakit
yang di dalam buat bodoh
yang bertamu tiada tokoh
seribu kali sayang
yang empunya pintu
sempit
cerewet
berenang-renang
bersenang-lenang

Sudahlah kau
Agaknya angau sudah jadi sasau
macam tungau pokok belinjau

Tombong yang rompong
berlagak sombong
lohongnya tong kosong

Tamu selekeh kau perlekeh
tuan rumah batu banyak songeh

Kau tak hendak
aku lagi tak ingin
tak kebulur aku
pintu berkeladak
ada hati naik angin
ada hati perut
kaku
dingin

Sudahlah
(Boleh blah...)

Kau, kau, kau dan kau.
Hidung ditarik macam...?

Aku

Dalam "aku ini..." , "aku itu.." kau tu
sebenarnya kau lupa siapa Aku

Buang kesombongan,
pakaianKu yang kau pakai,
kerana kau tak layak

Aku mampu maafkan Hallaj,
bila lidahnya mengaku dia Aku,
kerana dia berkata tatkala gugur 'keakuan' dalam dirinya
bahkan bukankah Aku sentiasa ada dalam dia,
kau dan mereka semua???
dalam gerak diam setiap zarah
dalam desiran angin
dalam cahaya menyilau matamu
dalam kelam yang buat kau keliru

hanya itu yang aku mahu
kau ingat dan sedar siapa Aku

Friday, April 29, 2005

Gaya punya pasal

Aku nak kereta mewah
Biarlah aku kena saman trafik tiap-tiap hari
gaya punya pasal

Aku nak rumah besar
Biarlah anai-anai makan perabot mewahku
gaya punya pasal

Aku nak berjawatan tinggi
Biarlah tiap-tiap hari menyelesaikan masalah negara
Gaya punya pasal

Aku nak teman wanita cantik
walaupun tiap-tiap hari bergaduh pasal remote tv
Tak apalah sekurang-kurangnya ada juga orang nak pada aku

Aku nak boat mewah
Kononnya nak membelah lautan
sedangkan baru naik boat sudah mabuk laut
Tak apalah gaya punya pasal

Tapi tak nak bila satu hari nanti
Makan aku disuapkan, kencing berak aku dibasuhkan
sebab tak daya lagi nak hidup.
Gaya ke punya pasal?

Disini Dahulu

Dahulu
Di sini pernah aku berjanji
Untuk akan terus pergi dari kemiskinan ini
Dan mencari hidup dalam perjalanan yang akan ku harungi

Dahulu
Aku cuma melihat aku adalah aku
tapi tak pernah melihat apakah diriku
keliru melanda dalam erti yang tak pernah nyata

Kini
Perjalanan itu sebenarnya adalah perjalanan segalanya
Cetusan mimpi dan angan kini realiti

Kini
Segala rasa telah berubah
Semua telah didaki

Kini
Masa itu adalah masa yang lepas
walaupun kerinduan aku pada waktu itu
Kini biarlah segala yang lampau tetap kan tersemat di hati..




SSA tetap dihati..
1988-1992
Mohariz Yaakup

Tarian kata kata

Tarikanlah ritma itu...


Pada mata yang terlihat keanggunan dirimu
Jelas nyata masa ini aku terkaku
Hati cuma berkata tarilah apa yang ada
Badan merantai tak mahu bergerak

Pabila muzik bermain
Teralun ritma dan melodi yang membuatkan aku melayang

Aku masih di ceruk sudut gelap dan tiada sesiapa melihat
Kerlingan itu mula memanggil
Kaki kaku walau bisik hati semakin riang

Dia mula menari dgn kata-kata
Aku mencium haruman katanya
Walaupun berjuta-juta dihujung lidah tak dapat terucap
Hingga terlupa haruman itu adalah perangkap kala lalai
Tak daya berselindung kerna getar semakin menggamit benci

Masa ini hanya dapat ku tarikan hanya di maya sahaja..
Masa ini kembalikanlah diriku
Aku mahu pulang




Mohariz Hj Yaakup
Sungai Ramal
Kajang Selangor
4.59am
30/4/2005

Wednesday, April 27, 2005

Kerana tafsiran kiasan...

UploadEngine.com - Ultra-fast, highly reliable and dedicated online file hosting.UploadEngine.com - Ultra-fast, highly reliable and dedicated online file hosting.
UploadEngine.com - Ultra-fast, highly reliable and dedicated online file hosting.


Kerana tafsiran kiasan...
jiwa ribut berkocak
tak lurus lembing terpacak
ada suka, sayu dan bangga
teruja jua sekali dua
makin hari terus membakar
tak cukup kanvas ku lakar
mega ku merah, ungu, hitam, kelabu
esoknya pula biru

Kerana tafsiran kiasan...
aku mencari penawar jiwa
di mana ya?

Tertiarap di bangunan kolonial?
Bertahta di kaki Bukit Chandan?

Kerana tafsiran kiasan...
Horizon ku pelbagai warna kini
Lalu alter ego menyapa diri

Katanya sinis -- kasih itu kan elok dibiar terbang
kerana sesungguhnya tak luak rasa sayang
kasih bukan untuk dimilik
kan gerak geri bisa ditilik?

lalu aku lihat garisan...

telah lama garisan ku rempuh
hati yang rapuh, bisa lumpuh

kau tak perlu melangkah garisan

kerana seru ku telah mewarna horizon, mega dan cekerawala
ia menemani mu sentiasa
yakinlah

...

Tuesday, April 26, 2005

Aku Percaya

Gerimis di tengahari
membungkam kaku
langkah kakiku
berat langkahku
lagi berat hati melambai pilu
singgahsana yang cuma sebentar menyokong duduknya aku

Aku mesti beredar
sebelum aku tewas dengan redup matamu
Aku mesti berundur
demi bahagia kehendak kekasihku
Aku mohon diri
mengharap masa pengubat sayu
Aku pergi dulu
walau dambaan hatiku masih kasihmu
Aku tinggalkan kamu
dengan ratu pilihanmu
Aku redhakan deritaku
demi Cintaku

Kebahagiaanmu disamping dia
Kebahagiaan aku beroleh hikmah ujianNya

Kerana aku percaya
perit hamba sahaya dijunjung dunia kedua
persinggahan kita buat sementara
kasih di sini bukanlah yang terutama
kasih yang yang kekal lagi bermakna
padaNya jua Yang Maha Esa
padaNya jua Yang Maha Kaya

Pautan kita terlerai sebelum senja
tak sempat menyaksikan
bukaan putik seripagi berbunga
aku relakan kerana pasti ada
buatku pintu yang akan terbuka
menggamit hatiku yang masih luka

Kalau bukan pada insan lain
aku beroleh bahagia
semarakkanlah cintaku pada Dia
pada cinta dan kasih yang lebih bermakna
bakal dimahkotakan bila kukenal erti redha

Namun aku percaya
buatku masih ada cinta
biar aku sendiri jelajahi duka
yang masih membara kenangan lama
relakan aku pergi saja
kerana AKU PERCAYA.
Aku masih percaya.

Kaedah Bergilir
SC Singapura/Kakteh London

Sunday, April 24, 2005

Katakan Pada Aku…

...

Katakan Pada Aku
Yang engkau itu Melayu

Yo ! Joe..
Katakan pada aku yang engkau itu Melayu
Dalam bingit musik hip hopmu
Menutur lagu bagai peluru
Membuatkan aku tergaru-garu
Kepala aku yang penuh kutu

Sepatah haram aku tak tahu

Hey Mat!
Katakan pada aku yang engkau itu Melayu
Dalam pekak telinga aku
Mendengar bunyi haru biru
Yang keluar dari corong ekzos motormu
‘Tertonggeng lah kamu !”
Di hujung jalan itu

Maki seranah dari aku.

Alo Brader!
Katakan pada aku yang engkau itu Melayu
Dalam khayal candu
Di lorong-lorong berdebu
Menyuntik kulit menggerutu
Dengan igauan-igauan baru
‘apa nak jadi dengan bangsa aku’
Bisik aku sambil berlalu

Dalam pedih menusuk kalbu.

Salam Encik.
Katakan pada aku yang encik ini Melayu
Berpakaian kemas, bertali leher kelabu
Di pejabat cantik dalam bangunan batu
Tapi aku jadi buntu
Bila aku harus menghulurkan duit beribu
Hanya untuk mendapat kelulusan dari kamu
Sedangkan itu

Dah memang kerja kamu.

Ma Fren,
Katakan pada aku yang ‘you’ ini Melayu
Berbicara lagak seorang mat salleh negara maju
Belacan dan budu ‘you’ tak mahu
Hari-hari makan roti dan keju
Sudah biru mata hitam ‘you’ ?
Pabila aku menepuk bahu
‘Opocot mak kau’

laa..Melayu rupanya kamu

Cik Adik,
Katakan pada aku yang Cik Adik ini Melayu
Senyum manis dari bibir merkah itu
Tak cukup menarik minat aku
Kerana lurah yang tak seharusnya terbuka itu
Serta peha yang gebu
Di sua-suakan ke mukaku
Hingga tak berkelip anak mata aku
‘Fesyen musim panas’ katamu
oooooo... melopong aku

Bila masa salji akan turun di depan pintu?

Katakan pada aku
Yang aku ini Melayu
Mengumpat sesama kamu
Menyindir kaum serumpun Melayu

Maaf saudara saudari
Aku cuma mencari
Zapin dan tari
Yang telah hilang pergi
Bersama jatidiri dan identiti
Bangsa aku sendiri.

~ Darekampo.

Alamak, brader!

atas kerusi batu
kita berlonggok tunggu drebar bas
memang enjin bas dah lama hidup
tapi abang rashid kat kafe, tengah makan
bawah pokok ni kan redup
takkan nak duduk dalam bas
panas...

budak mara, petronas, swasta
semua ada cerita sendiri, gaya masing-masing
bila dah habis kelas
kena kejar jadual bas
kalau tak... terlepas
kena balik rumah sendiri
naik kereta prebet sapu
lepas ke jalan besar
ada lah lebih kurang setengah batu



dalam ramai-ramai menunggu
atas kerusi batu, bawah pokok tu
muncul Faizal
pelajar swasta
lagaknya macam keturunan dewa-dewa
nak berkawan pilih bulu


Dia kacak
di kampus ni, dia macam besi berani
awek mana yang tak paling bila dia lalu

ramos dia setengah kilo
kilat basah rambut dia macam baru lepas mandi
penangan gel rambut terkini

kagum aku padanya
dengan pakaian branded
tak sikit kengkawan yang rimas nak dekat
ye lah, tak sama standard

mendekat dia pada Putat
budak MARA murtad
dengan budak swasta lagi banyak dia melekat
kita -kita ni, pada dia bahan menyakat

mendekat dia pada Putat
sambil menyapa..
“err... rokok sebatang, brader??”

alamak...
kekaguman aku padanya
hilang dengan tiba-tiba !!

Wednesday, April 20, 2005

Adat Berkasih Sayang

Bila tabung kasih berisi
nafas dihirup dan dihembus
berbunga mewangi
isinya tulus
bila kulit sedang-sedang
cinta pada yang khusus
resmi adat berkasih sayang

Bila tabung rindu mula kosong
luka kecil sengaja ditoreh-toreh
dipalu-palu bunyinya rompong
baru terasa payah mengadu jerih
akal pendek langkahnya bodoh
iman sengkek hati jadi lusuh
yang kukuh pun boleh runtuh
yang dikendong tak lagi dijunjung

Bila diselam betul-betul
dalam sepasang mata itu
disuluh mata yang lagi satu
baru selesa tempat duduk
urat mana pun
bila disondol-sondol
boleh jadi tolol
walhal bila diseluk dipeluk
dirangkul didakap
yang ranum dikongsi
sebelum jadi busuk


Yang lembut itu
hati yang bisa kosong
tapi mudah diisi
Yang keras itu batu lesung
yang bisa hancur
bila dipusi-pusi


Kelentang kelentung
resmi tabung kosong
tabung berisi memang
sentiasa kembang
harum
dan ranum.

Friday, April 08, 2005

Mengapa kawan

Mengapa kawan,
kau datang juga,
mengapa aku,
pintu kubuka
menggamit masuk
duka lara kenangan lama
luka parah masih kurasa

mengapa kawan,
kau datang lagi
menjenguk aku di pagi hari
malam datang kau mesti pergi
tinggalku lagi menyoal diri

mengapa kawan
masih kuingat
gelak tawa, senyum manis
bila kala jadi sinis?
terasa hati bagai dihiris
tiap malam ku menangis,

mengapa kawan?

Sidang Tak Diundang

Soal siapa aku
tak boleh dicerminkan
pada susun atur
huruf huruf halus
tiada suara
tiada mimik muka
pada gambaran rasa
olahan mata kasar yang mengilhamkan
tompok hitam pada jiwa
walau pada wajah tampak tulus

Kalau terjemahan firasat
engkau yakin mulus sifat sahabat
mungkin tidak akan terbit nista
yang sewenang-wenangnya kau humban
seolah meludah lendir kelat ke darat
melepek pipi sendiri
sambil melembing tombak tersesat
cedera rasa percaya
yang sudah tersedia tenat

Soal gelap dan terang dunia aku
bukan hak engkau memberi kiraan
Timbangan kau pada benda tak terjangkau
membelenggu keamanan fikiran
Kau gelar diri kau teman
Kau panggil aku sahabat
tapi kehakiman kau melampau
Berhentikanlah

Tak Kunjung Tiba

BERGEMA IRAMA RINDU
BILAKU KENANGKAN KAMU
GEMENTAR DEGUP JANTUNGKU
MENJELANG KITA BERTEMU

KUTUNGGU TEMPAT SELALU
KAU TAK JAWAB PANGGILANKU
SMS BERTALU-TALU
RASA GERAM TAPI RINDU


WALAU LAMA DAKU SETIA
MANA DIA TAK KUNJUNG TIBA
TANPA BERITA JUA

KULALU DEPAN RUMAHMU
DITERANGI LAMPU LAMPU
BERDIRI DI MUKA PINTU
SIDIA DIPELUK KAMU

PANDU LAJU KERETAKU
BETAPA SAKITNYA HATIKU
LIMA JAM KUTUNGGU TUNGGU
KAU LUPA PADA JANJIMU